expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 27 January 2015

Latar belakang pendidikan yang berbeza

Latar belakang pendiikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Kempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja.

Sebelum  Malaysia  memiliki  sistem  pendidikan  Nasional,  wujud  empat  aliran pendidikan  yang  berlainan  iaitu  aliran  inggeris,  melayu,  cina  dan  india yang  mengambil  silibus  pembelajaran  berbeza  yang  menyebabkan ketidakseragaman bahasa, identiti dan fahaman. Ini telah menyebabkan timbulnya  pelbagai  masalah  yang  memberi  impak  buruk  dalam pembentukan kaum di Malaysia. Walaupun selepas kemerdekaan kerajaan cubamemperkenalkan dasar-dasar pendidikan baru bagi tujuan penyelarasan namun proses perpaduan ini sukar dilakukan.

Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dirasmikan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 telah dikecam oleh pelbagai pihak bukan Melayu . Ini kerana mereka merasakan langkah itu terlalu mengutamakan bahasa Melayu, namun Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) pula tidak berpuas hati dengan perlaksanaannya .Mereka berasa kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak menubuhkan sekolah menengah dan universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada awal 1958 sebagaimana yang telah dirancangkan . Bagaimanapun berkat perjuangan beberapa orang tokoh termasuk Tuan Syed Nasir bin Ismail, sebagai pengerusi dan Dr. Mahathir Mohamad sebagai naib pengerusi, termasuk juga antaranya dua orang tokoh UMNO ketika itu iaitu Tun Razak bin Hussain, Dato` Dr.Ismail bin Abdul Rahman, akhirnya gagasan Universiti Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mendapat sokongan UMNO dan kerajaan perikatan dan ianya berjaya ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Berikutan penubuhan Universiti Kebangsaan ini telah mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada kaum Cina, apabila mereka juga telah mengemukakan permohonan untuk menubuhkan Universiti Merdeka. Oleh kerana pilihan raya 1969 sudah hampir maka pihak MCA telah mendakwa bahawa sekiranya mereka tidak menyokong projek Universiti Merdeka maka ramai pengundi keturunan Cina akan menolak mereka dalam pilihan raya nanti. Untuk itu kerajaan telah menyelesaikan tuntutan itu secara memberi kebenaran kepada MCA menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Suatu keganjilan di sini apabila kerajaan telah memberi bantuan kepada sebuah institusi pendidikan yang bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. KTAR sebenarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Namun itulah hakikatnya kerajaan sedapat mungkin cuba bertolak ansur demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

No comments:

Post a Comment