expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 27 January 2015

Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris
Hasil daripada kajian, kejadian ini disebabkan oleh dasar  “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British yang mengaitkannya dengan beberapa faktor. Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang.
Dasar  ini  dilakukan  oleh  British  untuk  mengelakkan  perpaduan  antara pelbagai  kaum  yang  dikhuatiri  akan  mengancam  kedudukan  mereka. Masyarakat  melayu  terdiri  dari  petani  dan  nelayan  di  kampung, masyarakat  cina  pula  telah  mewarisi  perniagaan  secara  turun  temurun dan  tinggal  di  bandar  manakala  masyarakat  india  bekerja  sebagai penoreh  dan  tinggal  di  estet. Dasar  ini  telah  berjaya  direalisasikan  bagi mewujudkan  kelompok-kelompok  etnik  yang  berdasarkan  kegiatan ekonomi  yang  tinggal  dalam  kelompok  masing-masing.  Kesannya, interaksi  antara  kaum  hanya  terbatas  di  pejabat  dan  pasar  sahaja.  Ini melahirkan perasaan prasangka antara kaum yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.

Suasana yang seperti ini menyebabkan hubungan masyarakat antara kaum di negara ini menjadi terbatas. Di sisi penjajah keadaan seumpama ini amat baik baginya untuk mengukuhkan kedudukannya serta mengekalkan kuasa mereka. Suasana yang tidak seimbang ini telah berlanjutan sekalipun negara telah mencapai kemerdekaan . Bahkan suasana sosio-ekonomi yang tidak seimbang itu semakin melebar akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap pertumbuhan ekonomi tanpa menghiraukan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dalam masyarakat Malaysia. Perkembangan rumit yang melibatkan kelas dan kaum ini akhirnya telah membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan yang sedar akan keresahan dan perasaan tidak puas hati yang berlaku antara kaum tidak seyharusnya dibiarkan. Berikutan inilah lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971 sebagai usaha untuk memulihkan keadaan. Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei.

No comments:

Post a Comment